18 Saksi Sudah Dirakam Keterangan, Polis Nasihat Pemandu Bas Tak Beri Kenyataan Ganggu Siasatan

IPOH: Polis telah merakam keterangan 18 individu bagi membantu siasatan berhubung tragedi menyayat hati yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam nahas bas di KM53 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik pada Isnin lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Noor Hisam Nordin, berkata pihaknya masih menunggu perkembangan kesihatan pemandu bas berkenaan, yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Taiping, sebelum kenyataan dapat direkodkan.

“Setakat ini, keterangan telah diambil daripada 13 pelajar UPSI yang cedera dan telah dibenarkan keluar hospital, pasangan suami isteri yang menaiki Perodua Alza, dua doktor forensik Hospital Gerik, serta pemilik rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang tular di media sosial,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.

Menurut beliau, pihak polis tidak akan tergesa-gesa mendapatkan kenyataan pemandu bas bagi mengelakkan gangguan terhadap proses penyiasatan yang sedang dijalankan secara menyeluruh.

“Sampel darah pemandu telah dihantar ke Jabatan Kimia dan keputusan sedang ditunggu. Setakat ini, tiada permohonan reman dibuat. Kita akan tunggu sehingga beliau stabil dan dibenarkan keluar hospital sebelum tindakan lanjut diambil,” jelas Noor Hisam.

Beliau turut mengingatkan agar pemandu berkenaan tidak memberi kenyataan awam buat masa ini bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap siasatan.

Dalam usaha menyeluruh membongkar punca nahas tragis ini, polis kini bekerjasama erat dengan pelbagai agensi teknikal dan forensik, antaranya Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Kimia (Petaling Jaya dan Perak), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Pasukan Forensik IPK Perak dan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara PDRM.

Noor Hisam turut mengesahkan bahawa rakaman dashcam yang tular telah dihantar ke unit forensik Bukit Aman untuk dianalisis dan disahkan kesahihannya.

Dalam kejadian yang berlaku awal pagi Isnin, sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dikatakan melanggar belakang sebuah Perodua Alza sebelum terbabas dan terbalik berhampiran Tasik Banding.

Nahas itu meragut 15 nyawa dan mencederakan lebih 20 yang lain.

Siasatan kes kini dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dijangka mengambil masa berikutan kompleksiti teknikal serta jumlah pihak terlibat.

BBerkaitan

Latest articles