17 MPV Kejar Seorang Suspek Pengedar Dadah

Polis menahan seorang lelaki disyaki pengedar dadah di Kilometer 58 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, Johor Bahru, malam tadi.

Sebanyak 17 kereta peronda polis (MPV) digunakan untuk mengejar suspek.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain, berkata suspek berusia 45 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Altis itu ditahan di susur keluar Simpang Renggam, Kluang, kira-kira jam 8 malam.

Beliau berkata, sebelum kejadian anggota dari Cawangan MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan sedang melakukan tugas rondaan cegah jenayah dan kawalan pergerakan COVID-19.

“Ketika membuat rondaan di Jalan Lembing, Taman Sri Tebrau kira-kira jam 7.15 malam, anggota polis melihat sebuah kereta berwarna putih berada dalam keadaan mencurigakan, sebelum mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan.

“Namun, suspek bertindak memecut laju melarikan diri ke Jalan Kasa dan keluar ke Lebuhraya EDL dengan memandu secara berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dalam kejadian itu anggotanya dibantu 17 MPV dari lima daerah untuk menahan suspek.

“Suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan ke atas kereta dinaikinya menemui sejumlah dadah disyaki syabu dan pil ecstacy dianggarkan bernilai RM50,000.

“Semakan juga mendapati, kenderaan itu didaftarkan atas nama syarikat kereta sewa, selain suspek turut memiliki rekod jenayah lalu berkaitan dadah,” katanya.

Suspek direman selama tujuh hari hingga 2 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Latest articles

Related articles

spot_img