KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya akan digantung operasi selama tujuh hari, bermula hari ini.
Rapid KL dalam kenyataan, hari ini berkata penggantungan operasi itu membabitkan 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park.
Stesen terlibat adalah Kelana Jaya, Taman Bahagia, Taman Paramount, Asian Jaya,Taman Jaya, Universiti, Kerinchi, Bangsar, Abdullah Hukum dan KL Sentral.
Selain itu, Stesen LRT Pasar Seni, Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park.
Kenyataan itu turut memaklumkan, bas perantara percuma disediakan bagi mengurangkan kesesakan di Stesen LRT Kelana Jaya.
“Bas disediakan dari Stesen LRT Ara Damansara – Stesen Pasar Seni; Stesen Ara Damansara – Stesen Kelana Jaya; Stesen Kelana Jaya – Stesen Pasar Seni; Stesen Pasar Seni – Stesen Masjid Jamek dan Stesen Masjid Jamek ke Stesen LRT Damai,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, lain-lain stesen beroperasi seperti biasa bermula jam 6 pagi dan akan menamatkan perkhidmatan lebih awal iaitu hingga jam 11 malam.
Stesen yang beroperasi adalah Stesen LRT Gombak, Taman Melati, Wangsa Maju, Sri Rampai, Setiawangsa, Jelatek, Dato Keramat, Damai dan Lembah Subang.
Turut beroperasi, Stesen LRT Ara Damansara, Subang Jaya, SS15, SS18, USJ7, Taipan, Wawasan, USJ21, Alam Megah, Subang Alam dan Putra Heights.
Menurut kenyataan itu lagi, waktu operasi bermula jam 6 pagi hingga 11 malam itu akan berkuatkuasa mulai hari ini hingga 15 November depan.
Rapid KL dalam kenyataan malam tadi memaklumkan punca gangguan operasi dipercayai berpunca gangguan kepada komponen elektronik sistem kawalan tren automatik atau ATC yang menyebabkan kehilangan signal di antara pusat kawalan dan juga tren.