KUALA LUMPUR: Keprihatinan rakyat Malaysia dizahirkan menerusi misi bantuan kemanusiaan ke Sumatera Barat apabila pasukan sukarelawan dari negara ini turun padang membantu mangsa banjir bandang yang melanda wilayah berkenaan baru-baru ini.
Pasukan Tindakan Kecemasan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (CDERT-APM) Team Amal Kazuko dilaporkan tiba di Padang, Sumatera Barat minggu lalu bagi melaksanakan Misi Bantuan Bencana, dengan menyalurkan bakul makanan kepada lebih 100 keluarga terjejas di Desa Limau Badak dan Toboh Malalak, Kabupaten Agam.
Banjir bandang yang melanda kawasan itu menyebabkan kemusnahan besar apabila beberapa kediaman penduduk dihanyutkan arus deras, tanah pertanian rosak sepenuhnya selain bekalan air bersih terputus.
Lebih menyedihkan, tragedi tersebut turut meragut nyawa dan meninggalkan kesan trauma mendalam kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal serta punca rezeki.
Kehadiran sukarelawan dari Malaysia disambut dengan penuh rasa syukur oleh masyarakat setempat, sekali gus menyuntik sinar harapan kepada mangsa yang sedang berdepan ujian berat.
Misi ini turut mencerminkan nilai kemanusiaan sejagat serta mengukuhkan hubungan persaudaraan antara Malaysia dan Indonesia sebagai negara serumpun.
Misi berkenaan disertai barisan kepimpinan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), antaranya Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan IPPA APM, YS Kol. (PA) Effendy Ali; Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi IPPA APM, YS Kol. (PA) Mohd Adzhar Mujab; serta Pengarah APM Wilayah Persekutuan, Kol. (PA) Mohd Rosman Abdullah.
Misi ini turut mendapat sokongan penaja iaitu Mubassyir Travel & Tours Sdn Bhd dan Federal Power Sdn Bhd.
Ketua misi, Datin Seri Intan Abdul Hamid, berkata beliau berasa amat pilu apabila menyaksikan sendiri keadaan mangsa di lokasi bencana.
“Keadaan di sini sangat menyedihkan. Kami bertemu dengan warga emas yang kehilangan rumah sepenuhnya. Dalam situasi begini, kata-kata seolah-olah tidak lagi bermakna. Kami hanya mampu menghulurkan bantuan sekadar termampu,” katanya.
Menurut beliau, semua bantuan yang disalurkan adalah hasil sumbangan ikhlas rakyat Malaysia melalui Team Amal Kazuko.
“Alhamdulillah, kami dapat melihat sendiri kesan bencana yang dialami mangsa. Segala infak diberikan dengan seikhlas hati. Kami berharap keluarga terjejas diberikan ketabahan dan reda menghadapi ujian ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Dewan Pimpinan Daerah (DPD) Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) Agam, Fadli Rahmadi, memaklumkan bencana tersebut telah memusnahkan sebahagian besar kawasan penempatan penduduk.
“Sebanyak enam rumah dihanyutkan arus, dua lagi mengalami kerosakan teruk, manakala tanah pertanian musnah sepenuhnya. Bekalan air bersih juga terputus dan sisa lumpur serta bongkah batu masih berselerak di beberapa lokasi,” jelasnya.
Beliau berkata, usaha pemulihan sedang dijalankan menerusi kerjasama kerajaan Indonesia bersama NGO tempatan dan antarabangsa.
“Kehadiran NGO dari Malaysia amat bermakna kepada kami. Bantuan ini benar-benar menyentuh hati dan membuktikan semangat persaudaraan antara negara jiran,” katanya.
Difahamkan, banjir bandang di Sumatera Barat itu berpunca daripada hujan lebat berterusan di kawasan hulu pada Disember lalu, menyebabkan limpahan air bercampur lumpur dan batu besar melanda kawasan rendah.
Misi kemanusiaan ini diharapkan dapat meringankan beban mangsa selain menjadi simbol solidariti dan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap penderitaan masyarakat serantau.










