KUALA LUMPUR: Ketika Bersatu bergolak dengan krisis dalaman, UMNO memberi bayangan jelas bahawa pintu parti itu tidak pernah tertutup buat mana-mana pemimpin yang mahu “pulang”, termasuk Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang kini berdepan kemungkinan dikenakan tindakan disiplin sehingga pemecatan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, parti itu kekal bersikap terbuka untuk menerima semula individu atau pemimpin yang ingin kembali menyertai UMNO, selaras dengan gagasan Rumah Bangsa yang diperkenalkan bagi menyatukan orang Melayu di bawah satu wadah politik.
Menurut Zahid, Rumah Bangsa diwujudkan sebagai platform inklusif tanpa mengira latar belakang politik, sama ada penyertaan dibuat secara individu atau berkumpulan, asalkan perjuangan selari dengan kepentingan orang Melayu.
“UMNO sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja yang mahu kembali atau menyertai parti ini, selaras dengan objektif penubuhan Rumah Bangsa. UMNO ialah wadah untuk ahli UMNO dan sesiapa yang memperjuangkan agenda orang Melayu,” katanya ketika diminta mengulas kedudukan Hamzah dalam Bersatu, seperti dipetik Utusan Malaysia.
Beliau turut menegaskan pendekatan inklusif itu penting dalam usaha membina kestabilan politik negara dengan menyatukan kembali orang Melayu di bawah parti yang berpengalaman dan teruji.
Untuk rekod, Hamzah merupakan antara enam Ahli Parlimen UMNO yang meninggalkan parti itu pada 14 Disember 2018 atas alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Zahid ketika itu.
Ketika ini, Bersatu dilaporkan berdepan pergolakan dalaman dengan nama Hamzah antara pemimpin yang dikaitkan bakal dikenakan tindakan disiplin, termasuk kemungkinan dipecat.
Hamzah sebelum ini dilaporkan dipanggil menghadap lembaga disiplin Bersatu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penglibatannya dalam kekecohan semasa perhimpunan agung tahunan parti serta serangan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.










