PUTRAJAYA: Kira-kira 15 juta Lesen Memandu Kompeten (CDL) di seluruh negara direkodkan masih aktif, manakala lebih 925,000 lesen yang sudah tamat tempoh kurang tiga tahun masih layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata lesen yang melebihi tempoh tamat tiga tahun pula dikategorikan sebagai tidak aktif dan pemegangnya tidak berhak menerima manfaat subsidi di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95).
“Daripada jumlah itu, 551,668 lesen tamat setahun, 219,092 tamat dua tahun dan 154,641 tamat sehingga tiga tahun. Lesen ini walaupun tamat, masih dikira aktif dalam sistem dan layak menerima subsidi. Tetapi jika lebih tiga tahun, lesen terbatal dan mereka tidak lagi layak,” katanya pada sidang media khas di kementeriannya, hari ini.
Beliau mengulas susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memperkenalkan BUDI95 bermula 30 September ini.
Program itu membolehkan warganegara berusia 16 tahun ke atas dengan lesen memandu sah membeli RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter dengan had 300 liter sebulan.
Sementara itu, bukan warganegara perlu membeli RON95 pada harga pasaran tanpa subsidi yang dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.
Anthony turut mengingatkan pemegang CDL yang tamat tempoh lebih tiga tahun supaya segera memperbaharui lesen masing-masing, jika tidak mahu menduduki semula ujian memandu Bahagian 2 dan 3 (KPP02 dan KPP03).
“Sejak pengumuman mengenai BUDI95 pada 22 September lalu, JPJ telah merekodkan hampir 27,000 transaksi pembaharuan CDL melalui aplikasi MyJPJ, mySikap, kiosk dan kaunter JPJ di seluruh negara,” katanya.