146,737 Anggota Tentera, Pasangan Mengundi Awal Pada 15 November

KUALA LUMPUR: Selasa (15 November) adalah hari pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membabitkan seramai 146,737 Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasangan.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata sebanyak 153 pusat mengundi awal ATM diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebagai pusat pengundian awal bagi anggota dan pasangan masing-masing di seluruh negara.

“Bagaimanapun, proses membuang undi bagi anggota yang didaftarkan sebagai pengundi pos sudah bermula 7 November lalu sehingga 19 November ini sebelum jam 5 petang selepas menerima Sampul Keutamaan Kertas Undi Pos (SKKUP) yang dikeluarkan oleh Pegawai Pengurus bagi sesuatu bahagian pilihan raya.

“Adalah menjadi harapan ATM proses pengundian itu berjalan dengan lancar bagi membolehkan setiap anggota dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi yang sah seperti mana rakyat Malaysia yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Affendi berkata, ATM sentiasa menyokong proses dan Sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

“Atas kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong juga, warga ATM sentiasa berpegang kepada norma-norma integriti di dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab demi kesejahteraan negara.

Tambah beliau, ATM juga sudah bersiap siaga dan bersedia untuk mengatur gerakkan aset sekiranya berlaku banjir terutama di negeri yang berisiko terjejas dengan bencana itu.

“Apa yang penting ATM akan terus memberi fokus keutamaan dalam memperkasakan kesiapsiagaan angkatan demi melindungi kepentingan dan kedaulatan negara.

“Apatah lagi ketika negara kini sudah mula memasuki Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang bermula sejak 7 November lalu dan akan berlarutan sehingga Mac 2023,” katanya.

“Pada masa sama, ia bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara daripada sebarang kemungkinan tidak diingini sepanjang proses pengundian dan apabila keputusan pilihan raya diumumkan nanti,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles