KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan Waktu Bekerja Berlainan (WBB), sistem syif baharu untuk pekerja penjagaan kesihatan awam masih belum mendapat kelulusan.
Dzulkefly berkata ia kerana WBB masih dalam satus cadangan yang masih diperhalusi termasuk mempertimbangkan kebajikan petugas kesihatan.
“Pada setiap cadangan itu ada baik dan buruknya sebab itu saya mahu kita pastikan ia melalui libat urus dengan pengarah-pengarah hospital, pakar-pakar dan jabatan-jabatan.
“Apa pun ia masih dalam status cadangan dan belum sampai kepada saya.
“Malangnya ia semacam didedahkan mungkin sengaja atau tidak, itu soalan lain, yang penting saya belum luluskan apatah lagi (Jabatan Perkhidmatan Awam),” katanya.
Dzulkefly berkata, sepatutnya WBB untuk petugas kesihatan menjadi perintis di tujuh hospital mulai 1 Febuari ini.
Melalui sistem itu, WBB mengehadkan doktor dan doktor gigi di perkhidmatan kesihatan awam bertugas 18 jam berturut-turut, berkurangan daripada tugas “on-call” selama 24 hingga 33 jam yang diamalkan ketika ini.
Semalam, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyuarakan kebimbangan terhadap sistem syif baharu dan memberi amaran ia mungkin membebankan sistem penjagaan kesihatan awam.
Presiden MMA, Dr Kalwinder Singh Khaira dilaporkan berkata, tenaga kerja di hospital kerajaan tidak mencukupi untuk pengurangan masa kerja kerana mereka bergelut dengan beban kerja tinggi ketika syif semasa.