Mas Ermieyati Kekal Ketua BERSATU Masjid Tanah, Rahim Tamby Chik Terajui Alor Gajah

MELAKA:Datuk Mas Ermieyati Samsudin berjaya mempertahankan jawatan Ketua BERSATU Bahagian Masjid Tanah selepas menang besar dengan 150 undi, mengalahkan pencabarnya, Rosni Sham Samion, yang hanya mendapat empat undi. Pemilihan diadakan di Tanjung Bidara dan turut menyaksikan Nazri Ramli mengekalkan jawatan Timbalan Ketua Bahagian.

Pemilihan kepemimpinan bahagian yang diadakan di sebuah resort di Tanjung Bidara, Masjid Tanah, turut menyaksikan penyandang Timbalan Ketua Bahagian, Nazri Ramli, mengekalkan jawatannya dengan 133 undi. Pencabarnya, Abdul Rashid Tang Abdullah, gagal meraih sebarang undi.

Bagi jawatan Naib Ketua, Roslan Jonet muncul pemenang dengan memperoleh 90 undi, mengalahkan tiga pencabar lain iaitu Baharidin Saleh (lima undi), Muhammad Ali Hanafiah Jaamat (56 undi), dan Mohd Rozaimi Mhd Zaini (12 undi).

Keputusan rasmi bagi dua daripada empat bahagian BERSATU yang bersidang diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) BERSATU Melaka dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara di Bahagian Alor Gajah pula , bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, turut menang sebagai Ketua Bahagian dengan 105 undi, menewaskan Mohd Zamri Abu Bakar yang memperoleh 56 undi.

Manakala Jawatan Timbalan Ketua Bahagian Alor Gajah dimenangi oleh Rozaini Salim dengan 92 undi, menewaskan pencabarnya, Nazri Abu Kasim, yang memperoleh 68 undi. Bagi jawatan Naib Ketua, Baharom Jamil memenangi 102 undi, mengalahkan Saifullizan Abu yang meraih 59 undi.

Mas Ermieyati menyatakan komitmennya untuk memperkukuh parti di peringkat akar umbi dan merancang strategi bersama Badan Pimpinan Negeri (BPN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Selain itu, Mas Ermieyati turut berhasrat untuk menubuhkan cawangan baharu serta mengaktifkan cawangan sedia ada. “BERSATU Masjid Tanah akan menyusun dan merancang strategi bersama Badan Pimpinan Negeri (BPN) bagi persiapan dan gerak kerja menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles