MP Kuala Kangsar Diberi Surat Tunjuk Sebab Kerana Sokong Anwar

KUALA LUMPUR: Lembaga Disiplin Bersatu yang bermesyuarat pada malam tadi telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, selain itu kedudukan Iskandar Dzulkarnain juga dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu malam tadi.

“Lembaga Disiplin parti telah pun menghantar surat tunjuk sebab kepada Iskandar Dzulkarnain sebelum sebarang tindakan diambil ke atas beliau mengikut perlembagaan parti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada 12 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain menyatakan sokongan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang masih bersama Bersatu berkata, tindakan itu diambil kerana tidak sanggup melihat pengundi di kawasannya terbiar dan ketinggalan semata-mata perbalahan naratif politik.

Sementara itu, Hamzah memberitahu, mesyuarat yang dipengerusikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut membuat ketetapan bahawa Perhimpunan Agung Tahunan parti akan berlangsung mulai 23 hingga 25 November ini di
Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.

Beliau menambah, Jawatankuasa Induk Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu akan dipengerusikan Naib Presiden, Datuk Dr Radzi Jidin.

“Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu bermula dengan perasmian sayap-sayap Bersatu pada 23 November, sebelum diikuti Perhimpunan Agung pada 24 dan 25 November,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles