Jangan Tekan PM – Johari Jawab Isu Rombakan Kabinet

KUALA LUMPUR: Terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada hendak melakukan rombakan kabinet atau sebaliknya, tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Ghani.

Bahkan ia adalah hak eksklusif Anwar sekali pun hendak berbuat demikian.

“Sama ada dibuat nak buat rombakan atau tidak itu hak kuasa mutlak beliau,” kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu selepas menyantuni Orang Asli berdekatan Kampung Sungai Gapoi, Pahang sempena PRK Pelangai.

Malah bekas Menteri Kewangan II itu turut menambah mana-mana pihak tidak boleh menekan perdana menteri berhubung rombakan itu, dengan mengambil kira cabaran ekonomi sejagat yang sedang dihadapi negara ketika ini.

“Kita berdepan dengan ekonomi global secara besar,” katanya.

Johari juga mengingatkan jika rombakan kabinet terjadi, proses penyesuaian kepada pasukan pentadbiran pasti mengambil masa.

“Perdana menteri akan susun dia punya pasukan. Macam main bola, dia tak boleh main seorang,” katanya.

Anwar pada Rabu memaklumkan beliau masih sedang memikirkan tentang rombakan Jemaah Menteri, susulan ura-ura ia akan berlaku selepas PRN enam negeri pada Ogos.

Spekulasi semakin hangat apabila baru-baru ini ketua lima kementerian diumumkan terlibat dalam beberapa pusingan kerja dan perlantikan baharu.

BBerkaitan

Latest articles