13 Rakyat Malaysia Masih Berada Dia Iran, Enggan Pulang

KUALA LUMPUR: Seramai 13 rakyat Malaysia dilaporkan masih berada di Iran dan memilih untuk tidak pulang ke tanah air meskipun kerajaan sudah menawarkan bantuan membawa mereka keluar susulan ketidaktentuan keselamatan di negara itu.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata daripada jumlah berkenaan, dua atau tiga individu merupakan pelajar yang telah diberikan nasihat sewajarnya.

Namun, mereka tetap membuat keputusan untuk terus berada di Iran atas alasan peribadi.

Menurut beliau, kerajaan sebelum ini bertindak lebih awal dengan menghubungi dan menawarkan bantuan kepulangan kepada rakyat Malaysia yang berada di sana, tetapi tawaran tersebut tidak diterima.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat berhubung penilaian Wisma Putra terhadap kemungkinan konflik bersenjata antara Iran dan Amerika Syarikat, serta kesannya kepada keselamatan serantau.

Mengulas lanjut, Mohamad memaklumkan kesemua 13 individu terbabit telah menandatangani surat indemniti sebagai akujanji bahawa kerajaan Malaysia tidak akan dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku sebarang insiden tidak diingini.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke Iran dalam keadaan semasa, kecuali atas urusan yang benar-benar penting.

Katanya, situasi di rantau berkenaan boleh berubah secara mendadak berdasarkan pengalaman lalu.

Sebagai contoh, insiden pengeboman loji nuklear tahun lalu memaksa kerajaan melaksanakan operasi pemindahan kecemasan, dengan rakyat Malaysia terpaksa menempuh perjalanan darat lebih 1,200 kilometer dari Tehran ke Ashgabat, sebelum dibawa pulang.

“Kali ini kita tidak perlu laksanakan pelan evakuasi kerana kita sudah bertindak lebih awal dengan membawa pulang mereka yang bersetuju,” jelasnya.

Beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai agar mempertimbangkan semula hasrat ke Iran dalam tempoh terdekat dan mencadangkan destinasi alternatif yang lebih stabil seperti Dubai atau Doha sekiranya mempunyai keperluan ke luar negara.

BBerkaitan

Latest articles