More

    13 Banduan Dapat Pembebasan Awal Oleh Yang di-Pertuan Agong

    Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan pembebasan awal kepada 13 banduan di beberapa penjara di Malaysia sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-63 hari ini.

    “Perkenan Al-Sultan Abdullah ini dibuat menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan susulan daripada nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,” demikian menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

    Kesemua banduan tersebut didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat pada 28 Disember 2001 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, atas pertuduhan menurut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana berperang atau cuba berperang atau menyubahati berperang melawan Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang Dipertua Negeri.

    “Kesemua 13 banduan yang dihukum menjalani hukuman penjara sepanjang hayat sejak 2001 ini telah membuat rayuan pengampunan terhadap hukuman tersebut,” kata Ahmad Fadil.

    Pengurniaan pembebasan awal itu dilakukan atas nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam mesyuarat ke-55 yang bersidang pada 4 September tahun lepas, telah bertitah perkenan untuk 13 banduan tersebut dibebaskan pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan.

    Menerusi mesyuarat ke-56 Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam mesyuarat ke-56 yang bersidang pada 24 Julai 2020, Baginda telah berkenan mengurniakan pembebasan awal kepada 13 banduan tersebut, berkuat kuasa pada Ogos 2020.

    Pembebasan awal itu bertujuan memberi peluang kepada mereka yang menunjukkan kelakuan baik untuk kembali ke pangkuan masyarakat serta kehidupan normal dan menjadi insan yang lebih baik.

    “Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar kesemua 13 banduan mengenang kembali kesilapan, terus memohon keampunan dan menilai sejauh mana hubungan mereka dengan Tuhan dan keluarga serta masyarakat,” katanya.

    Malah Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan supaya kesemua bekas banduan itu dapat menjalani kehidupan normal seperti individu lain bersama ahli keluarga dan masyarakat, selain dapat menabur bakti tergadap agama, bangsa dan negara.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini