Zuraida, Larry Selesai Isu Presiden Sebelum 5 Nov
KUALA LUMPUR: Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan menyelesaikan isu kontroversi melibatkan jawatan presiden parti itu sebelum hari penamaan calon pada 5 November ini.
Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang menegaskan beliau sebagai presiden PBM yang sah berkata, isu tersebut akan diselesaikan secara dalaman.
“Segala isu presiden parti akan diselesaikan pada 5 November ini sebelum hari penamaan calon.
“Isu ini akan diselesaikan secara dalaman dalam satu mesyuarat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas PBM di sini hari ini.
Diminta mengulas kenyataan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) hari ini yang mengesahkan Datuk Larry Sng Wei Shien masih lagi Presiden, Zuraida yang juga Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi mengulangi isu itu akan diselesaikan secara dalaman.
Ditanya siapa yang memberi arahan parti ketika ini sama ada beliau atau Larry, Zuraida menegaskan, tiada arahan sebaliknya isu parti akan diselesaikan secara bersama.
Beliau berkata, isu watikah calon PBM juga akan diselesaikan secara dalaman.
Sementara itu, Zuraida turut mengumumkan PBM akan bertanding secara solo dan tidak bergabung dengan mana-mana pakatan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, PBM hanya menumpukan kepada enam kerusi Parlimen yang disandang ketika ini.
Ditanya sama ada Barisan Nasional (BN) telah menolak permohonan PBM menjadi rakan komponen sebelum ini, Zuraida berkata, ia tidak direalisasi kerana terdapat dan terma dan syarat yang tidak dipenuhi parti itu.
Dalam pada itu, media hari ini melaporkan RoS mengesahkan Larry masih lagi Presiden PBM berdasarkan rekod yang ada di jabatan itu.
Ketua Pengarahnya, Mohd Nawardi Saad berkata, berdasarkan rekod, Larry masih Presiden dan jika ada pertikaian mengenai jawatan itu, ia perlu diselesaikan di peringkat parti.