SHAH ALAM – Polis menahan 12 individu termasuk seorang wanita berusia antara 30 hingga 40 tahun susulan insiden khianat dan ugutan jenayah terhadap seorang aktivis, S. Chandrasegaran atau dikenali sebagai Cikgu Chandra di Taman Kinrara, Puchong baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tangkapan dibuat menerusi beberapa serbuan bermula 12 Mac hingga semalam di sekitar Banting, Subang dan Serdang.
Menurutnya, operasi bersepadu itu melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.
“Daripada jumlah tersebut, tujuh suspek dikenal pasti mempunyai kaitan langsung dengan kejadian dan masih direman bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di IPK Selangor, Shah Alam pada Isnin.
Beliau berkata, polis turut menahan individu yang dipercayai menjadi dalang utama dalam kejadian itu, manakala wanita yang ditahan merupakan isteri kepada salah seorang suspek.
Pada masa sama, polis mengesahkan kejadian khianat dan ugutan jenayah terhadap mangsa tidak mempunyai kaitan dengan sebarang elemen kongsi gelap.
Shazeli berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati serta rasa terguris terhadap mangsa.
“Semakan rekod lampau mendapati lima daripada tujuh suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau, namun kesemua mereka didapati negatif dadah.
“Lima suspek termasuk wanita berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan di bawah Seksyen 427, Seksyen 506 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, polis turut merampas beberapa kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
Rampasan melibatkan tiga buah kereta iaitu Toyota Vios, Honda City dan Nissan Almera selain dua motosikal jenis Honda Wave dan Yamaha Y16.
“Polis kini sedang mengesan tiga lagi suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40 tahun yang masih bebas bagi membantu melengkapkan siasatan,” katanya.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang pada 10 Mac lalu, sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang dipercayai menyerang rumah mangsa di Taman Kinrara.
Suspek memecahkan cermin belakang kereta Perodua Viva milik mangsa selain merosakkan jeriji besi di hadapan rumah.
Dalam kejadian berasingan kira-kira jam 3.20 pagi pada 11 Mac, sekumpulan individu dipercayai datang semula ke rumah mangsa sebelum mencampakkan objek dipercayai bom petrol.
Akibat kejadian itu, sebuah kereta jenis Suzuki Ertiga milik mangsa musnah sepenuhnya, manakala Perodua Viva serta sebuah lagi kenderaan turut terjejas akibat kebakaran.










