12 Anggota Keselamatan Direman, Disyaki Terlibat Rompakan Kripto RM200,000

SHAH ALAM: Seramai 12 pegawai dan anggota pasukan keselamatan ditahan bagi membantu siasatan kes rompakan berkumpulan membabitkan kerugian kira-kira RM200,000 dalam bentuk mata wang kripto.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

“Ya, saya mengesahkan kejadian dan penahanan itu. Tindakan segera telah diambil dan seramai 12 anggota telah ditahan.

“Polis Kontinjen Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam aktiviti jenayah,” katanya dalam kenyataan.

Menurut laporan, mereka yang ditahan terdiri daripada pelbagai pangkat termasuk seorang Asisten Superintendan, seorang Inspektor, seorang Sarjan, enam Koperal, dua Lans Koperal dan seorang Konstabel berusia antara 24 hingga 47 tahun.

Kesemua suspek diberkas dalam beberapa operasi berasingan selama dua hari oleh pasukan khas dari ibu pejabat polis daerah.

Kes berkenaan tercetus susulan laporan seorang lelaki warga China berusia 31 tahun yang mendakwa dia bersama tujuh rakannya dipaksa memindahkan mata wang kripto sebagai syarat untuk dibebaskan.

Mangsa mendakwa kejadian berlaku selepas banglo yang mereka sewa di kawasan perumahan berpagar di Country Heights diserbu awal Februari lalu atas syak wasangka terlibat dalam penipuan dalam talian.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan terhadap penghuni dan peranti elektronik tidak menemukan sebarang bukti kegiatan jenayah.

Mangsa kemudian mendakwa mereka diugut akan dikenakan tindakan lanjut sekiranya gagal membuat bayaran, sebelum transaksi mata wang kripto dilakukan.

Difahamkan, bayaran dibuat sebelum kumpulan itu dibenarkan meninggalkan premis.

Polis kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti peranan setiap individu yang terlibat.

Setakat ini, pihak berkuasa belum memutuskan sama ada pertuduhan akan dibuat dalam masa terdekat.

Shazeli turut menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh.

BBerkaitan

Latest articles