KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 11 daripada 12 warganegara Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kiev masih berada di Ukraine.
Kesemua mereka kini dalam proses untuk dipindahkan.
“Kedutaan Besar Malaysia di Kiev kini berusaha memberikan perlindungan dan menyediakan tempat selamat untuk rakyat Malaysia sebelum mereka dapat pulang ke Malaysia,” katanya menerusi Twitter.
Menurutnya, Malaysia dukacita dengan perkembangan yang berlaku di Ukraine dan keutamaan kerajaan pada masa ini adalah memastikan Keluarga Malaysia di Ukraine berada dalam keadaan selamat.
Ismail Sabri berkata, Malaysia juga berharap agar satu jalan penyelesaian damai yang terbaik di antara Ukraine dan Rusia dapat segera dicapai, seterusnya berjaya menyelesaikan konflik tersebut.