KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan 11 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isteri ketiganya, Salwani Anuar dibicarakan secara bersama.
Keputusan itu dibuat Hakim Azura Alwi selepas menerima permohonan pihak pendakwaan yang mahu semua pertuduhan digabungkan kerana melibatkan saksi serta fakta kes yang sama.
Pendakwaan memaklumkan, langkah itu juga bertujuan menjimatkan masa mahkamah selain memastikan kelancaran prosiding.
Kes melibatkan Muhammad Hafizuddeain merangkumi beberapa pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah jutaan ringgit, dipercayai berkait dengan tender perolehan Tentera Darat Malaysia antara Februari 2024 hingga November 2025.
Sementara itu, Salwani pula berdepan lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram melibatkan puluhan ribu ringgit yang dimasukkan ke akaun syarikat miliknya.
Mahkamah menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta penyerahan dokumen kepada pihak pembelaan secara berperingkat.
Kedua-dua tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dikenakan.










