More

    100 Hari KKMM: Krisis Komunikasi Jadi Cabaran Terbesar

    Kejayaan Malaysia dalam mengawal penularan Covid-19 turut disumbang dengan pengurusan komunikasi yang pantas dan efektif, demikian menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah.

    Apatah lagi dengan penyebaran berita palsu daripada pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga mewujudkan suasana panik di kalangan rakyat.

    Ini dapat dilihat apabila beberapa hari sebelum pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa pertama, orang ramai mula menyerbu pasar raya dan kedai runcit dengan melakukan pembelian panik sehingga menyebabkan bekalan habis.

    Peranan segera diambil oleh Pasukan Respon Pantas di bawah kementerian ini untuk memaklumkan dan menepis berita palsu dengan melakukan penyebaran dua kali sehari.

    Begitu juga dalam menyampaikan maklumat kes positif dan kawasan yang terbabit dengan penularan Covid-19.

    “Tempoh 100 hari ini adalah lebih kepada cabaran pengurusan krisis komunikasi sepanjang zaman Covid-19.

    “Kesemua mereka yang melawan berita palsu adalah wira tidak didendang. Tugasan kami semasa PKP adalah memastikan hanya dua jurucakap sudah memadai.

    “Seorang bercakap soal kesihatan iaitu Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan seorang soal bukan kesihatan, melalui Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya ketika membentangkan Kad Laporan 100 Hari KKKM di pejabatnya, semalam.

    Tambah Saifuddin sehingga kini Pasukan Respon Pantas telah menafikan 319 berita palsu menerusi pelbagai saluran komunikasi dan menjadikan RTM dan Bernama sebagai media utama.

    Begitu juga kejayaan KKMM mewujudkan dua aplikasi untuk menjejaki pergerakan rakyat dan platform penerangan mengenai wabak ini.

    “KKMM siapkan rekacipta dua aplikasi, iaitu MySejahtera dan Gerak Malaysia.

    “Penggunaan MySejahtera selepas ini ia jadi mandatori, ada pihak tentu yang nak gerak kena guna aplikasi ini,” katanya.

    Malah KKMM juga menggalakkan pembelian secara dalam talian apabila rakyat tidak dibenarkan untuk keluar membeli belah secara fizikal.

    Begitu juga peranan yang dimainkan kementerian ini dalam membuat garis panduan kepada orang ramai dan golongan yang terlibat dengan sektor ekonomi apabila PKP mula dilonggarkan.

    “Jabatan Perlindungan Data Peribadi membuat SOP di mana pekedai hanya boleh minta iaitu nama, nombor telefon dan masa sahaja.

    “Mereka tidak boleh minta kad pengenalan dan alamat orang ramai yang mengunjungi premis perniagaan,” katanya.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini