10 Teras Bendung PAS, UMNO – Guan Eng

KUALA LUMPUR: Keputusan Muktamar PAS dan Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini disifatkan sebagai manifestasi politik dominasi agama serta kaum yang mengetepikan semangat Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

​Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, tindakan PAS yang secara terbuka melarang orang bukan Islam daripada memegang jawatan Kabinet penting telah mencapai satu tahap yang amat membimbangkan.

​”Begitu juga dengan UMNO yang secara terbuka berusaha melemahkan kerajaan yang dianggotainya dengan cuba mempercepatkan keruntuhan kerajaan perpaduan demi menyelamatkan pemimpin mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

​Sehubungan itu, Guan Eng menegaskan bahawa rakyat Malaysia pelbagai kaum perlu bersatu menentang politik ekstremis yang berbahaya ini bagi mengelakkan dasar radikal daripada merosakkan asas negara bangsa.

​Beliau menggariskan 10 teras asas bagi membendung pengaruh kedua-dua parti tersebut melalui pemerkasaan perpaduan nasional serta integrasi kukuh antara Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia.

​”Pertama dan kedua, kita mesti teguh menjunjung Perlembagaan Persekutuan serta mempertahankan demokrasi, pengasingan kuasa, dan autonomi Sabah serta Sarawak bagi mencegah sebarang bentuk salah guna kuasa,” ujar beliau.

​Menurutnya, teras ketiga hingga kelima pula menumpukan kepada usaha mempromosikan perpaduan dalam kepelbagaian dengan melindungi hak perlembagaan semua rakyat, menjana kemakmuran ekonomi melalui pengurangan birokrasi, serta mengurangkan cukai dan kos utiliti.

​”Kita juga bertekad berkongsi manfaat ekonomi secara saksama terutamanya kepada 17 juta tenaga kerja, selain mengurangkan kos sara hidup dan memansuhkan amalan ekonomi sewa toksik serta kapitalisme kroni,” jelasnya.

​Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memartabatkan kurikulum pendidikan berasaskan merit menerusi satu peperiksaan tunggal bagi mengangkat semula kedudukan ranking PISA negara, di samping memelihara alam sekitar dan warisan budaya.

​”Kerajaan mesti menyediakan penjagaan kesihatan asas untuk semua, memperluas akses pendidikan digital yang mampu milik berserta kawalan ketat terhadap penipuan dalam talian serta pembulian siber,” katanya.

​Beliau menambah, teras terakhir menuntut komitmen untuk melabur dalam infrastruktur fizikal bagi memastikan rakyat menikmati rangkaian jalan raya yang baik, pengangkutan awam yang kukuh, serta bekalan kuasa dan air yang boleh diharap.

BBerkaitan

Latest articles