KUALA LUMPUR: Sepuluh delegasi Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan terputus hubungan selepas kapal mereka dipercayai dipintas Tentera Israel di Zon Merah R2, awal pagi tadi.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abd Alim Araby berkata, kesemua mereka tidak dapat dihubungi lebih dua jam dan dipercayai membuang telefon ke laut sebagai langkah keselamatan.
“Tanda ini menunjukkan mereka telah melalui tempoh melebihi dua jam tanpa komunikasi. Pusat GSF juga mengesahkan ‘tracker’ kapal tidak lagi dikawal.
“Rakaman CCTV terputus selepas lampu sorot dan siraman air digunakan oleh kapal Israel. Inilah cara pintasan yang mereka lakukan,” katanya pada sidang media di sini.
Menurut beliau, tiga aktivis Malaysia Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil berada di atas kapal Alma bersama aktivis antarabangsa terkenal, Greta Thunberg dan Thiago Avila.
Kapal Sirius pula membawa Haikal Abdullah, Muaz Zainal dan Zulfadhli, manakala Huga dinaiki Zara Kirana serta Grand Blue membawa pasangan aktivis Danish dan Farah Lee.
Bagaimanapun, dua kapal lain iaitu Mikeno (Ardell) serta Estrella (PU Rahmat, Norhelmi, Mohd Asmawi dan Norazman) masih belum dapat dikesan setakat ini.
Sementara itu, kapal Fairlady yang membawa Zainal Rashid (ZRA) dan Ustaz Muhammad masih berada di barisan paling belakang dan dilaporkan selamat walaupun mengalami masalah teknikal.
“Mereka tetap enggan berpatah balik meskipun dimaklumkan kapal lain sudah dipintas. Fairlady kini bergerak menggunakan layar mengikut kelajuan angin,” kata Sani.
Beliau turut memaklumkan, laporan awal mendapati formasi kapal perang Israel semakin ketat bagi menyekat laluan flotilla menuju Gaza.
“Flotilla ini tidak melanggar undang-undang antarabangsa. Mereka dipintas lebih jauh berbanding misi terdahulu,” jelasnya.
Menurut Sani, sehingga kini SNCC tidak menerima sebarang laporan kecederaan membabitkan sukarelawan Malaysia.
“Setakat ini, mereka masih dilaporkan dalam keadaan baik dan bersemangat, biarpun berdepan ancaman,” katanya.
Untuk rekod, flotilla antarabangsa itu mula memasuki Zon Merah R3 awal pagi tadi sebelum berdepan pintasan Israel.
Setakat ini, 13 kapal dilaporkan dipintas, termasuk sembilan yang sudah diceroboh tentera laut rejim itu.